WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Orang Ramai Diminta Ambil Langkah Keselamatan Elektrik Dan Gas

16/10/2024 10:11 AM

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas di musim banjir berikutan pelbagai risiko antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tenaga (ST) orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pengawasan sebelum banjir, semasa dan selepas banjir.

"Sekiranya diarah berpindah, orang ramai perlu memastikan kelengkapan elektrik disimpan di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir serta matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

"Pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan perlu dimatikan daripada suis utama seperti solar PV atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip," menurut kenyataan itu.

ST memaklumkan orang ramai juga perlu mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air selain tidak memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik ketika banjir.

"Orang ramai diminta tidak mengalihkan tiang elektrik yang tumbang atau talian yang putus dan segera melaporkan kepada pihak utiliti elektrik," menurut kenyataan itu.

Menurut ST, langkah selepas banjir adalah memastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan 'OFF' (ditutup) sebelum kerja pembersihan dimulakan.

"Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering serta sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan dengan talian, struktur pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip," menurut suruhanjaya itu.

ST turut mengingatkan orang ramai agar mengelak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan suruhanjaya itu sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip.

ST turut menasihati orang ramai agar menyimpan nombor telefon pejabat bagi kecemasan seperti balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti berdekatan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan