WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua ‘Geng Dinesh’ Didenda RM22,500 Oleh Mahkamah

16/10/2024 06:55 PM

MANJUNG, 16 Okt (Bernama) -- Seorang tukang kebun yang juga ketua ‘Geng Dinesh’ didenda RM22,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan membabitkan kesalahan curi, khianat dan menceroboh.

A. Dinesh Kumar, 24, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500, di sebuah rumah di Taman Raja Muda Musa, Sitiawan pada 7 pagi 27 Sept.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dinesh juga didakwa atas empat pertuduhan mencuri harta dalam kenderaan membabitkan kasut, beg tangan, beg pemegang kad dan kad bar emas di empat kediaman di sekitar Sitiawan antara 6 pagi 4 Sept hingga 8 pagi 27 Sept.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lelaki itu juga didakwa atas enam pertuduhan menceroboh masuk enam kediaman di sekitar Sitiawan dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang antara 1.10 pagi pada 24 Ogos hingga 12.35 tengah malam pada 16 Sept mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili Nur Shaqira Ibrahim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid memerintahkan hukuman penjara antara tiga hingga 12 bulan sekiranya Dinesh gagal membayar denda itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan