WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Taman Melawati Antara 114 Titik Panas Sangat Berisiko Tanah Runtuh - Amirudin

16/10/2024 11:37 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan E6, Taman Melawati semalam, merupakan antara 114 daripada 600 titik panas yang dikenal pasti di daerah Ampang Jaya, Selangor, sebagai zon merah atau sangat berisiko untuk kejadian tanah runtuh.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 400 lagi kawasan dikategorikan sebagai zon jingga atau berisiko.

“Jika kita lihat kepada struktur tanah, kawasan ini terletak di atas batu kapur.

“Dari Hulu Klang ke Batu Caves, kawasan ini mempunyai kawasan batu kapur yang panjang dan apabila air mengalir melaluinya selama berbulan-bulan, risiko tanah runtuh lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini. 

Insiden tanah runtuh yang berlaku kira-kira 10.15 pagi semalam, akibat hujan lebat memaksa penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Sebanyak empat rumah dan sebuah kereta dikenal pasti terkesan akibat kejadian gelinciran tanah ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata pihak berkuasa sudah pun mengesan kawasan yang cenderung untuk berlaku tanah runtuh ini dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengingatkan  penduduk terutamanya di kawasan pesisir pantai negeri Selangor, untuk membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar ataupun air pasang tinggi yang dijangka berlaku bermula 18 hingga 20 Okt.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan