WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemegang Saham AirAsia X Lulus Pengambilalihan Kepentingan Perniagaan Penerbangan Capital A

16/10/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pemegang saham AirAsia X Bhd (AAX) melulus dan menyokong sepenuhnya cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Capital A dalam perniagaan penerbangan dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) dengan harga RM6.8 bilion.

AAX dalam satu kenyataan hari ini berkata 99.08 peratus pemegang sahamnya mengundi menyokong pengambilalihan itu semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang menunjukkan sokongan padu terhadap visi AAX untuk memanfaatkan peluang pasaran baharu, mengukuhkan sinergi operasi dan mengembangkan tawaran perkhidmatannya

"Keputusan penting ini memberi laluan kepada pengambilalihan transformatif AAX yang dijangka selesai menjelang akhir tahun ini sebagai kumpulan penerbangan yang diperbesarkan, tertakluk kepada kelulusan akhir mahkamah dan kawal selia," katanya.

Selain itu, pemegang saham juga menyokong cadangan pengeluaran waran percuma, cadangan tawaran saham persendirian untuk meningkatkan hasil kasar berjumlah RM1 bilion, cadangan pengurangan modal saham dan cadangan pemberian saham langganan.

“Setelah selesai, kumpulan penerbangan baharu itu akan menawarkan rangkaian komprehensif perkhidmatan perjalanan udara tambang rendah merentasi laluan jarak dekat, sederhana dan jauh, mewujudkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai hab mega penerbangan dan meletakkan ASEAN sebagai pusat transit utama global,” katanya.

Pengerusi AAX Datuk Fam Lee Ee berkata, pengambilalihan itu memberikan AAX akses kepada lebih 200 pesawat sedia ada dan 361 pesanan pesawat pada masa depan daripada portfolio penerbangan Capital A, menggabungkan pesawat berbadan sempit dan berbadan lebar ke dalam satu kumpulan, sekali gus membolehkannya meluaskan jangkauannya merentasi segmen jarak jauh, sederhana dan dekat.

Pada Isnin, 99.97 peratus pemegang saham Capital A Bhd meluluskan cadangan penjualan perniagaan bernilai RM6.8 bilion kepada AAX.

Pada 25 April, Capital A menandatangani surat tawaran tidak mengikat dengan AAX untuk cadangan penjualan perniagaan penerbangannya, AAB dan AAAGL.

AAAGL dan AAB ialah anak syarikat milik penuh Capital A.

Selepas penjualan, Capital A akan menumpu kepada empat tonggak strategik yang akan memacu transformasinya menjadi syarikat perkhidmatan penerbangan dipacu teknologi melalui Capital A Aviation Services (CAPAS), MOVE Digital, Teleport (Logistics), dan syarikat Brand AA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan