WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MoU Antara MIDA Dan MTUN Tingkatkan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi Malaysia

16/10/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), hari ini menjalin kerjasama untuk meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

MoU berkenaan dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Naib Canselor daripada empat universiti MTUN - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Mewakili universiti terbabit ialah Prof Datuk Dr Zaliman Sauli (UniMAP), Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim (UTHM), Prof Datuk Dr Yusserie Zainuddin (UMPSA) dan Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin (UTeM).

Dalam ucapannya, Sikh Shamsul Ibrahim berkata MoU itu mencerminkan komitmen bersama untuk meningkatkan bakat Malaysia, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Inisiatif ini memenuhi permintaan kritikal untuk profesional berkemahiran dalam sektor pembuatan dan teknologi yang sedang berkembang di Malaysia,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim turut menekankan bahawa kerjasama ini menunjukkan sinergi antara MIDA dan institusi akademik, membuka jalan kepada generasi baharu profesional berkemahiran tinggi yang disesuaikan dengan keperluan industri Malaysia yang semakin berkembang.

“Ia sejajar dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kerangka Ekonomi MADANI yang meletakkan Malaysia sebagai kuasa kompetitif dalam ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata kerjasama berkenaan membolehkan universiti MTUN mempersiapkan pelajar mereka dengan lebih baik untuk kerjaya dalam dunia moden, seperti sektor elektronik dan kejuruteraan.

Kepimpinan daripada institusi MTUN iaitu UniMAP, UTHM, UMPSA dan UTEM yang bersetuju dengan pandangan itu menegaskan, komitmen mereka untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran berkaitan industri dan memastikan ketersediaan mereka untuk bekerja.

Massila yang juga Pengerusi MTUN berkata kerjasama berkenaan akan merapatkan jurang antara pendidikan dan industri, memastikan graduan dilengkapi dengan baik untuk menghadapi industri berteknologi tinggi pada masa depan.

Pada majlis sama, Sikh Shamsul Ibrahim telah dianugerahkan gelaran Profesor Adjung di bawah program CEO@Fakulti sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam mengeratkan hubungan antara akademik dan industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan