WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penduduk Harap Sistem Siren Amaran Banjir Diselenggara, Berfungsi Dengan Baik

16/10/2024 05:12 PM

JASIN, 16 Okt (Bernama) -- Penduduk Kampung Kilang Berapi, Merlimau di sini berharap siren amaran banjir diselenggara dan dipastikan dapat berfungsi dengan baik selepas ia didakwa tidak berbunyi ketika kejadian Isnin lepas.

Mohd Salihin Musa, 35, berkata dia dan isteri, Nur Fairus Mohamad Razawi, 37, hanya menyedari rumah mereka dinaiki air kira-kira 5 pagi pada hari tersebut selepas bekalan elektrik terputus.

Dia yang telah empat tahun tinggal di situ berkata situasi banjir tersebut pertama kali dihadapi dan mereka hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum menyelamatkan diri.

"Ketika itu saya terjaga daripada tidur dan melihat air telah melimpah masuk ke dalam rumah hingga paras betis selain melihat beberapa barangan terapung.

"Saya bersyukur kerana kami sempat keluar meredah banjir dengan kereta menggunakan jambatan bersebelahan memandangkan laluan utama masuk ke kampung terputus," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd Salihin berkata berikutan kejadian itu beberapa barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh yang ditenggelami air kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat tinggi selain peralatan lain terpaksa dibuang kerana rosak.

"Kami reda dengan kejadian yang tidak diduga ini dan berharap masalah banjir yang berlaku dapat diatasi," katanya.

Sementara itu, Khairunnisa' Abdullah, 59, berkata dia menyedari kejadian banjir itu selepas dikejutkan oleh jiran yang menyuruh mereka sekeluarga supaya segera keluar dari rumah.

Dia kemudian dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan dibenarkan pulang semula ke rumah hari ini.

"Alhamdulillah, walaupun  penat mengemas ramai yang datang membantu dan saya ucap terima kasih atas bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak," katanya. 

Bagi Ahmad Bahtiar Mohamed, 53, kejadian banjir itu yang pertama kali setelah beberapa tahun tidak berlaku dan menyebabkan kereta serta rumahnya dinaiki air.

"Kami terpaksa buang barangan seperti tikar getah, tilam dan lain-lain yang rosak selain perlu menghantar kereta ke bengkel untuk dibaiki akibat banjir," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan