WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kedutaan Malaysia Di Indonesia Anjur Forum Penglibatan Strategik Di Jakarta

16/10/2024 08:54 PM

JAKARTA, 16 Okt (Bernama) -- Kedutaan Malaysia telah menganjurkan Forum Penglibatan Strategik pada Rabu bagi mengukuhkan hubungan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia dan perniagaan utama yang beroperasi di Indonesia.

Acara itu menampilkan taklimat oleh pengarah eksekutif Trust Indonesia Research and Consulting Azhari Ardinal yang memberi tumpuan kepada landskap politik Indonesia dan implikasi peralihan presiden yang akan datang.

Dalam ucapan perasmiannya, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menekankan matlamat forum itu untuk mendalami pemahaman mengenai isu semasa serta meningkatkan proses membuat keputusan bagi para hadirin.

"Sebagai satu daripada rakan dagang terbesar Malaysia di ASEAN, Indonesia memainkan peranan penting dalam strategi ekonomi kita," katanya, mengiktiraf sumbangan peserta terhadap pelaburan Malaysia di republik itu dan kerjasama ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa perbincangan itu menghasilkan pandangan berharga dan peluang rangkaian, membantu para peserta mencapai objektif perniagaan mereka di negara ini.

Syed Md Hasrin turut menekankan bahawa forum itu merupakan peluang bagi perniagaan untuk menangani cabaran operasi dan bekerjasama dengan kedutaan mengenai penyelesaian yang berkesan untuk memastikan kejayaan mereka.

"Kami kekal komited untuk menyokong usaha anda dan memastikan jejak ekonomi Malaysia terus berkembang dan maju di Indonesia."

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan