WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Skim Pembiayaan Mikro MADANI 'Talian Hayat' PKS Tambah Modal Kerja

17/10/2024 01:56 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Skim Pembiayaan Mikro MADANI oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) di bawah Belanjawan 2024 merupakan antara ‘talian hayat’ bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menambah modal kerja ketika berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan bencana alam. 

Selain modal kerja, skim pembiayaan berkenaan juga boleh digunakan untuk pembelian aset bagi  perniagaan dan pengubahsuaian premis perniagaan (renovation). 

Seorang penerima pembiayaan, Mohd Nurzul Hafiz Tamril, 37, berkata beliau menerima pembiayaan mikro dari BSN sebanyak 2 kali dengan jumlah keseluruhan RM95,000 untuk menambah modal kerja perniagaannya selepas berdepan dengan kesan banjir.

Mohd Nurzul yang mengusahakan stesen minyak Shell melalui syarikatnya, Stesyen Minyak Nurzul telah memulakan perniagaan dengan cawangan Shell di Shah Alam pada Julai 2020.

“Ketika itu (banjir), anggaran kerugian dalam lingkungan RM75,000. Walaupun kita masih boleh buat tuntutan insurans tetapi kami tidak dapat tuntutan penuh. Stok kedai juga banyak yang rosak selain berlaku kecurian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. 

Selain itu, stesyen minyak juga terpaksa ditutup selama beberapa hari bagi membaik pulih premis, katanya.

“Baik pulih ditanggung oleh pihak Shell seperti peralatan pam. Bagaimanapun, kami terpaksa bertahan kerana tiada pelanggan akibat banyak kereta rosak akibat banjir. Ambil dalam masa tiga bulan juga untuk jualan kita pulih seperti biasa,” katanya. 

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, beliau berjaya meneruskan perniagaan dan meraih status ‘gold retailer’ daripada Shell selama tiga tahun berturut-turut, sekaligus membuka peluang baginya membuka stesen Shell kedua di Klang pada Ogos tahun ini. 

“Alhamdulillah, perkembangan syarikat ketika ini sangat bagus. Untuk stesen di Klang, saya merancang untuk meningkatkan jualan dengan penambahan perkhidmatan kemudahan seperti mesin juruwang automatik (ATM) dan tempat cuci kereta (car wash). 

“Kami juga mahu melengkapkan segala perkhidmatan di stesen minyak untuk menjadikannya sebagai one stop centre untuk pelanggan,” katanya. 

Beliau berkata Skim Pembiayaan Mikro MADANI sangat membantu peniaga seperti beliau untuk mengambil peluang ketika berhadapan kesempitan dan cara untuk memohon juga amat mudah.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi peluang untuk membantu peniaga seperti kami.

“Kami amat bertuah kerana kerajaan MADANI banyak menyediakan kemudahan dan bantuan kepada para peniaga. 

“Kepada PKS lain, kalau ada peluang seperti ini untuk kerajaan bantu peniaga, rebutlah, sebab kita tidak tahu perkembangan perniagaan kita ini macam mana satu hari nanti,” katanya.

Setakat 30 Sept, sebanyak RM433.52 juta skim pembiayaan tersebut telah disalurkan BSN untuk tahun ini.

Bagi yang berminat untuk memohon, sila kunjungi cawangan BSN terdekat anda atau layari laman web sesawang BSN.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan