WILAYAH - UTARA > BERITA

Kemungkinan Banjir: MB Perak Arah Semua Pihak Berkaitan Siap Siaga

17/10/2024 03:14 PM

IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak mengarahkan semua pihak berkaitan seperti pegawai daerah, ketua-ketua kampung, dan jabatan-jabatan kerajaan supaya meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meminta semua pihak berwaspada sehingga hujung tahun kerana fenomena banjir yang dijangka melanda negara kali ini mirip bencana pada tahun 2014.

Beliau berkata semua pegawai daerah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah, selain semua jabatan terlibat termasuk ketua kampung perlu mengambil perhatian terhadap laporan itu dan mengingatkan anak buah masing-masing supaya sentiasa berwaspada bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Semua orang yang rumahnya berhampiran dengan sungai, bukan Sungai Perak sahaja, anak sungai atau apa-apa saliran, termasuk dalam bandar pun kena sentiasa berwaspada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak Kali Ke-48 Tahun 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pertanian Negeri Perak atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mahupun ketua kampung boleh membantu petani di kawasan masing-masing untuk mengatur serta menyusun jadual pertanian mereka bagi mengelakkan daripada lambakan bekalan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Saarani berkata petani dan peladang dalam negeri perlu tangkas mengadaptasi teknologi moden. 

Beliau berkata di kebanyakan negara, penggunaan seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) mula digunakan secara meluas bagi tujuan meningkatkan produktiviti, mengurus sumber dengan lebih baik dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

"Teknologi ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih tepat, meningkatkan hasil tanaman dan dalam masa yang sama menjaga kelestarian alam sekitar. Saya juga menyeru agar generasi muda diberi pendedahan dan latihan dalam penggunaan teknologi pertanian pintar ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan