WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pavilion Malaysia Di Tokyo Game Show 2024 Jana Potensi Eksport US$67.11 Juta

18/10/2024 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pavilion Malaysia di acara Tokyo Game Show (TGS) 2024 pada September lepas, berjaya menjana potensi jualan bernilai US$67.11 juta (US$1=RM4.29) daripada 150 mesyuarat niaga membabitkan syarikat-syarikat permainan Malaysia dan Jepun.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata TGS 2024 juga telah mencatat angka tertinggi merangkumi 274,739 pengunjung serta penyertaan 985 syarikat dan organisasi daripada 44 negara serta wilayah.

Pavilion itu yang beroperasi pada 26-29 September lepas, menampilkan 10 studio permainan Malaysia yang khusus dalam segmen pembangunan dan kesan khas (VFX) permainan.

“MDEC kekal komited untuk menyokong sektor ini dengan memupuk tenaga atau bakat tempatan selain inovasi dan menggalakkan aspek harta intelek bagi mewujudkan ekosistem permainan yang mantap.

“Usaha ini telah menjadikan Malaysia sebagai penggiat utama dalam pasaran permainan global, meningkatkan ekonomi digital serta identiti budaya negara ini,” kata kedua-dua agensi itu.

Ketua Bahagian Transformasi Digital MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata Malaysia mempamerkan industri kreatif digital serba dinamik, terutama dalam bidang permainan dengan kalangan pembangun berbakat mencipta kisah unik yang turut menyerlah di peringkat global.

“Acara ini membuktikan dedikasi kami dalam usaha memupuk kreativiti dan inovasi di persada global. Kami ingin berterima kasih kepada MATRADE di atas sokongan sepanjang acara itu berlangsung," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz pula menyifatkan penyertaan Malaysia di TGS 2024 itu telah meletakkan pemain industri tempatan di barisan hadapan landskap permainan global dan mempamerkan produk inovatif serta keupayaan kreatif mereka untuk tatapan khalayak antarabangsa.

“Sejajar usaha meletakkan sasaran untuk Ekspo Dunia Osaka 2025, kehadiran kami di TGS bukan setakat menyuntik momentum tetapi turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan kreativiti dalam industri kandungan kreatif global.

“Inisiatif berimpak tinggi ini dijangka dapat menyumbang kepada eksport kandungan digital Malaysia dengan kadar pertumbuhan sebanyak lapan peratus -- sasaran di bawah Pelan Tindakan MyDigital dan Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan