WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tang Jie-ee Wei 'kembali' Di Masters Jepun

18/10/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka kembali menyertai kejohanan selewat-lewatnya pertengahan November dengan Masters Jepun 2024 menjadi kejohanan pertama selepas berehat akibat kecederaan sebelum ini.

Ketua jurulatih beregu campuran Nova Widianto berkata selain Masters Jepun pada 12 hingga 17 Nov, pasangan negara itu seterusnya menyertai Masters China (19-24 Nov) dalam misi mengumpul mata ranking kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China hujung tahun ini.

“Saya rasa Masters Korea mereka tidak akan sertai kerana mata agak sedikit walaupun layak final, kena jadi juara (baru ada mata).

“Tapi untuk Masters Jepun dan China, mereka sudah siap (untuk sertai).  Sebab kalau Masters Jepun, layak ke separuh akhir boleh dapat mata manakala China pula mereka kena layak ke suku akhir (dapat mata),” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Pasangan di ranking kesembilan dunia itu terlepas dua kejohanan iaitu Terbuka Artik dan Denmark, berikutan Ee Wei mengalami kecederaan di tangan ketika sesi latihan sebelum ini.

Sementara itu, Nova optimis anak buahnya itu mampu melayakkan diri secara merit ke Jelajah Dunia BWF 2024 berdasarkan semangat juang yang ditampilkan Tang Jie-Ee Wei. 

Mengikut format Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya lapan pemain dan pasangan terbaik dalam ranking kelayakan akan beraksi di kejohanan berkenaan.

Berdasarkan ranking terkini Jelajah Dunia Akhir BWF, gandingan Tang Jie-Ee Wei berada di ranking ketiga di belakang beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menghuni tempat kedua.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan