WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Air Pasang Besar Di Klang Terkawal, Tiada Pemindahan Penduduk

18/10/2024 01:02 PM

PELABUHAN KLANG, 18 Okt (Bernama) -- Fenomena air laut pasang besar di sekitar Klang yang berlaku awal pagi ini dalam keadaan terkawal dengan tiada pemindahan penduduk dilakukan, kata Ketua Zon 3 (Klang) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Yunus Ibrahim.

Beliau berkata pemantauan pihaknya di beberapa kawasan yang dikenal pasti untuk menerima kesan daripada fenomena itu mendapati keadaan terkawal apabila air mulai menunjukkan trend menurun sekitar 7 pagi sebelum surut sepenuhnya.

"Sebanyak enam balai terlibat bagi pemantauan ini dan tumpuan kami untuk melihat jika fenomena ini memberikan kesan signifikan kepada masyarakat setempat dan setakat ini semua masih terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Limpahan air pasang besar bermula sekitar 4.30 pagi yang menyebabkan beberapa kampung serta laluan di sepanjang jalan dari terminal penumpang Pelabuhan Utara  dilimpahi air telah surut sepenuhnya kira-kira 8 pagi tadi. 

Sementara itu, Tinjauan Bernama di Kampung Nelayan Bagan Hylam di sini mendapati penduduk telah membuat persiapan awal dengan menyelamatkan barang penting sejak dua hari lepas.

Bagaimanapun, penduduk yang ingin dikenali sebagai Ah Soon, 59, mengakui kejadian air pasang kali ini antara yang terburuk sehingga Dewan Persatuan Drama Oi Koon yang tidak pernah menerima kesan daripada fenomena itu sebelum ini turut dimasuki air.

"Dewan ini telah diubah suai dengan kami tinggikan sedikit bagi mengelak dimasuki air tetapi keadaan berlaku sebaliknya hari ini … nasib baik kami sudah bersedia dengan mengalihkan barang-barang lebih awal lagi,” katanya. 

Seorang lagi penduduk Lim Meng Mei,17, berkata dia dan keluarganya menyedari air semakin tinggi kira-kira 5.50 pagi tadi namun telah membuat persiapan awal untuk memastikan mereka tidak terjejas teruk.

“Terima kasih kepada pihak yang menghebahkan peringatan mengenai fenomena ini di media sosial, jadi saya dan penduduk lain dapat bersedia lebih awal dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim mengingatkan supaya penduduk di kawasan pesisir pantai di negeri ini untuk berwaspada dalam mendepani fenomena air pasang besar yang dijangka berakhir 20 Okt ini.

Beliau berkata paras air laut akan mencecah 5.8 meter hari ini manakala pada 19 dan 20 Okt masing-masing dijangka pada paras 5.7 dan 5.5 meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan