WILAYAH - UTARA > BERITA

Reban Ternakan Tenggelam, Pesara Sedekah 60 Ekor Ayam

18/10/2024 03:44 PM

TELUK INTAN, 17 Okt (Bernama) -- Seorang pesara menyedekahkan ayam peliharaannya kepada penduduk kampung apabila reban ternakan di kebunnya dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Permatang Pelanduk di sini sejak dua hari lepas. 

Mohamad Aziz, 69, berkata kira-kira 60 ekor ayam kampung yang dipelihara sejak awal tahun ini diberikan kepada jiran-jiran terdekat untuk mengelak ayam berkenaan mati.

"Tidak apalah, saya sedekah sahaja daripada ayam mati begitu sahaja, saya juga kerugian ribuan ringgit kerana jentera dan ratusan anak pokok sawit di ladang turut dihanyutkan air," katanya kepada pemberita ketika meninjau kebunnya yang dinaiki air banjir di sini hari ini.

 Mohamad berkata dia juga pernah kerugian apabila reban ternakan kambingnya ditenggelami air dalam kejadian banjir yang sama beberapa tahun lepas.  

Kampung Permatang Pelanduk adalah antara kawasan di daerah Hilir Perak yang dinaiki air sedalam 3. 4 meter akibat limpahan Sungai Kinta susulan fenomena air pasang besar sejak dua hari lepas. 

Seorang lagi penduduk Mazlan Md Zin, 45,  berkata dia dan keluarga membuat persediaan awal kerana amaran air pasang besar telah diumum lebih awal sebelum kejadian berlaku.

Dia menyelamatkan barang seperti peralatan elektrik dan barang penting lain ke kawasan lebih tinggi kerana air pasang dijangka berlaku hingga esok.

"Saya juga membuat persediaan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atas nasihat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang datang memantau," katanya yang mempunyai enam cahaya mata.  

Sementara itu, Pegawai APM Hilir Perak Kapten APM (PA) Affindi Ishak berkata air naik disebabkan limpahan Sungai Kinta disusuli fenomena air pasang besar serta hujan lebat di daerah berkenaan sejak beberapa hari lepas.  

Fenomena air pasang besar itu diramal berterusan hingga esok dan dijangka menyebabkan paras air sungai meningkat lebih tiga meter. 

"Sebagai langkah siap siaga kita membuka lebih banyak PPS sebagai persediaan untuk menerima mangsa yang terpaksa berpindah, kita juga melakukan pemantauan serta menasihatkan penduduk berpindah jika keadaan memerlukan," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan