WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mangsa Banjir Berkurangan Petang Ini - NADMA

18/10/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 3,411 mangsa petang ini berbanding 3,880, pagi tadi.

Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) penurunan tersebut selepas dua PPS di Melaka ditutup, menjadikan negeri yang masih dilanda banjir menurun kepada lima, setakat 4 petang ini.

Di PERAK, mangsa yang dipindahkan ke 11 PPS di lima daerah meningkat kepada 1,459 orang daripada 463 keluarga, berbanding 1,456 orang daripada 461 keluarga, pagi tadi.

Keadaan sama direkodkan di SELANGOR, dengan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 105 orang daripada 57 keluarga, berbanding 33 orang daripada sembilan keluarga manakala di PERLIS, jumlah yang terjejas meningkat kepada 28 orang daripada sembilan keluarga berbanding tujuh orang daripada empat keluarga, pagi tadi.

Situasi banjir di KEDAH pula menunjukkan perkembangan positif dengan hanya 203 mangsa daripada 64 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah Kota Setar dan Pendang, berbanding 621 orang daripada 182 keluarga, pagi tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di lapan PPS di daerah Temerloh menurun kepada 1,616 orang daripada 483 keluarga berbanding 1,752 orang daripada 529 keluarga, pagi tadi.

Selain itu, satu PPS di buka di SARAWAK akibat kebakaran dan menempatkan seramai 67 orang daripada 19 keluarga. 

Sementara itu, NADMA yang memetik laporan Jabatan Pengairan dan Saliran turut memaklumkan sembilan sungai masing-masing di Kedah, Perak dan Pulau Pinang berada dalam kategori bahaya.

NADMA yang memetik laporan Jabatan Kerja Raya turut memaklumkan Jalan Weng Weng Dalam dan Jalan Ulu Leging/Weng/Tanjong Pari di Baling, Kedah ditutup akibat runtuhan cerun.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan