WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM1.8 Bilion Bina, Selenggara, Baik Pulih Kuarters Penjawat Awam

18/10/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini berkata Kementerian Kesihatan, akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar.

“Bagi fasiliti kesihatan yang mengguna pakai sistem ini, kerajaan bersetuju supaya Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara RM55 hingga RM65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.

Beliau berkata sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan turut memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

“Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

“Selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan