WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Kanak-kanak Maut, Seorang Kritikal Selepas Kereta Terjunam Ke Dalam Sungai

18/10/2024 08:07 PM

LAWAS,18 Okt (Bernama) -- Tiga kanak-kanak maut manakala enam lagi terselamat selepas sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, di sini tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mangsa, Mohamad Nazran Awang Matasan,10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dilaporkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di Hospital Lawas.

Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak perempuan, Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang dengan lapan daripadanya pelajar Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas manakala seorang kanak-kanak berusia 5 tahun merupakan anak kepada pemandu  berusia 38 tahun itu.

“Enam daripada mereka termasuk pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas lelaki itu bertindak membuka pintu bonet bahagian belakang kereta. Tiga kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar, Lawas,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau berkata panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 1.15 tengah hari dan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah digerakkan ke lokasi.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan