WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: Peningkatan Peruntukan SPRM Akan Bantu Usaha Banteras Gejala Rasuah

18/10/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada RM360 juta pada Belanjawan 2025 berbanding RM338 juta tahun ini akan membantu agensi itu dalam usahanya membanteras gejala rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata peningkatan peruntukan diterima SPRM itu membuktikan iltizam politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani jenayah rasuah serta meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam.

“SPRM berterima kasih atas keperihatinan kerajaan dan akan terus berusaha membasmi jenayah rasuah di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.  

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata peningkatan peruntukan diterima suruhanjaya itu membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

"Peruntukan yang lebih besar ini sangat penting untuk membolehkan SPRM memperluas siasatan, memperkukuhkan kapasiti penyiasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pesalah rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak. 

"Kebebasan sepenuhnya yang diberikan kepada SPRM dalam menjalankan siasatan juga selari dengan hasrat MCW untuk melihat sebuah agensi penguatkuasaan yang benar-benar bebas, berintegriti dan berwibawa," katanya.

Beliau berkata MCW berharap tambahan peruntukan sebanyak RM22 juta itu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan teknologi penyiasatan, memperkukuhkan program pendidikan dan kesedaran antirasuah serta melatih pegawai untuk lebih berkemahiran dalam menghadapi cabaran rasuah yang semakin kompleks.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan