WILAYAH - SARAWAK > BERITA

'Pak Belang' Dipercayai Baham Dua Lelaki Masuk Perangkap

19/10/2024 02:58 PM

IPOH, 19 Okt (Bernama) -- Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dua lelaki hingga maut di Bersia, Gerik serta di Batu Melintang Jeli, Kelantan berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini. 

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan haiwan berkenaan memasuki perangkap dipasang pihak Perhilitan. 

"Ya, dapat tangkap di sebelah Jeli. Perhilitan Kelantan akan memberikan maklumat lanjut berhubung tangkapan ini," katanya. 

Semalam, Yusoff berkata pihaknya melaksanakan gerak kerja bersama Perhilitan Kelantan untuk menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa hingga maut pada Selasa dan Rabu lepas.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga Myanmar meninggal dunia dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Batu Melintang, Jeli.

Kejadian sama berlaku Selasa lepas apabila seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, meninggal dunia diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli di Bersia, dekat Gerik.

Hari ini tular gambar dan video dikongsi oleh orang awam menerusi Facebook berkaitan tangkapan harimau terbabit. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan