BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKNS Sasar Majukan Lebih 6,600 Ekar Tanah Industri Menjelang 2030

19/10/2024 05:45 PM

SHAH ALAM, 19 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan untuk membangunkan lebih 6,600 ekar tanah perindustrian menjelang 2030, sekali gus mewujudkan Koridor Pertumbuhan Baharu Selangor. 

Inisiatif itu termasuk kawasan penting di negeri itu seperti Pelabuhan Klang, Bandar Sultan Sulaiman, Kota Puteri, Pulau Carey, Bernam Jaya, Shah Alam dan Lembah Siber Selangor.

Bagi mencapai sasaran berkenaan, PKNS menerusi penyertaannya dalam Konvensyen Lestari Klang 2024, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi matlamat pembangunan mampan (SDG) pada 9-12 Oktober lepas, mempamerkan projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau (GRIP) dan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) kepada pihak berkepentingan, pemaju dan kumpulan komuniti tempatan.

“Penglibatan ini turut memberi PKNS peluang mempamerkan inisiatif hijau dan projek pembangunan mampan yang seiringan dengan objektif jangka panjang Selangor," katanya dalam kenyataan. 

Dua komponen utama GRIP ialah Taman Perindustrian Terurus (MIP) dan Hartanah Hijau (GreenRE) dengan fasa pertama melibatkan pembangunan 13 lot perindustrian eksklusif di Rawang, Selangor. 

PKNS juga menegaskan bahawa GRIP bukan sekadar pembangunan, sebaliknya merangkumi visi negeri bagi ekonomi lebih mampan, berdaya tahan dan makmur.

“Projek pembangunan GRIP adalah bukti komitmen tidak berbelah bahagi PKNS terhadap kemampanan dan pemantauan alam sekitar," katanya.

Menyentuh CLQ, PKNS berkata ia bertujuan menangani kekurangan kemudahan penginapan bersih dan teratur untuk pekerja asing selain menyuntik nilai tambah terhadap taman-taman perindustrian.

“Di kawasan Klang misalnya, PKNS mencatat kemajuan dalam tiga projek perindustrian penting dengan pembangunan dua CLQ untuk menampung keperluan GRIP Pelabuhan Klang dan kawasan sekitar Bandar Sultan Sulaiman.

“Kelestarian adalah teras reka bentuk GRIP dengan ciri-ciri sistem kitaran air, pengurusan sisa yang cekap, penggunaan bahan binaan hijau dan Penyelesaian Tenaga Hijau, disokong oleh anak syarikat PKNS, Worldwide Holdings Bhd,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan