WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: 22 Lokasi Dikenal Pasti Pemasangan HS-WiM

19/10/2024 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Sebanyak 22 lokasi telah dikenal pasti untuk cadangan pemasangan sistem High Speed Weigh-in-Motion (HS-WiM) di seluruh  negara, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

MOT dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif memperluas penggunaan sistem HS-WiM khususnya di lebuh raya,  jalan-jalan di kawasan pelabuhan termasuk di jajaran baharu projek rel yang telah dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ kenderaan lebih muatan dan ‘black spot’ kemalangan maut.

Berterima kasih atas persetujuan kerajaan memasang sistem berkenaan di lokasi terpilih seperti diumum dalam Belanjawan 2025, semalam, kementerian itu memaklumkan ia memperlihatkan keprihatinan kerajaan sebagai respons terhadap peningkatan kadar kematian akibat nahas jalan raya berpunca kenderaan lebih muatan.

“Setakat suku pertama 2024, sebanyak 287 kemalangan maut melibatkan kenderaan lebih muatan dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebanyak 22 lokasi telah dikenal pasti untuk cadangan pemasangan sistem HS-WiM di seluruh  negara,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata sejumlah RM750 juta diperuntukkan kepada MOT untuk inisiatif pengangkutan awam, termasuk persetujuan pemasangan sistem berkenaan yang mampu mengesan kenderaan lebih muatan dalam masa sebenar dan secara automatik.

Dalam perkembangan lain, kementerian itu memaklumkan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang kini mencapai 89.11 peratus dijangka siap mengikut garis masa ditetapkan iaitu pada 31 Dis 2026 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 semalam.

MOT turut menyatakan komitmen memulakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang hujung tahun ini yang bakal menghubungkan kawasan penting di Pulau Pinang seperti Georgetown, Butterworth, Gelugor, Sungai Dua dan Bayan Lepas.

Selain itu, menurut kenyataan itu, kerajaan menerusi MOT juga akan membuat perolehan set tren elektrik baharu pada 2025 yang akan dapat meningkatkan kapasiti hingga 1.5 juta penumpang setahun dan kekerapan perkhidmatan pada waktu puncak. 

“MOT akan memperoleh 24 set tren elektrik baharu yang akan digunakan untuk Komuter Utara dan Selatan bagi menyelaras perkhidmatan komuter setara dengan kualiti yang disediakan di Lembah Klang.

“Selain itu, sebanyak 14 Diesel Multiple Unit (DMU) baharu akan digunakan bagi menggantikan stokereta “push-pull” untuk perkhidmatan antara bandar dari JB Sentral ke Tumpat yang dapat memendekkan masa perjalanan sehala dari 15 ke 11 jam,” menurut kenyataan itu.

MOT turut memaklumkan projek pemanjangan landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan kini dalam tindakan di peringkat MOT yang sedang meneliti keperluan aspek-aspek teknikal dan keselamatan pemanjangan landasan tersebut. 

“Projek ini akan dilaksana secara arahan perubahan kerja ke atas kontrak semasa. Pemanjangan landasan ini membolehkan syarikat-syarikat penerbangan  menyediakan perkhidmatan bagi laluan-laluan dengan jarak meliputi penerbangan hingga sembilan jam,” menurut MOT.

Bagi projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pula yang melibatkan penambahan kapasiti terminal daripada 6.5 juta penumpang setahun (mppa) kepada 12 mppa, kementerian itu menyatakan ia telah bermula pada suku ketiga 2024 dan dijangka mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan.

Sementara itu, menurut MOT pelaksanaan penjualan Penjualan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sebagai satu daripada saluran sumber kerajaan akan diteruskan pada 2025, selepas penjualan NPI mencatat kutipan RM43,297,923 pada 2024.

Dalam pada itu, MOT turut memaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan distruktur semula menjadi Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB) mulai 1 Julai 2025.

“Penstrukturan semula ini bukan sahaja membantu mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dan mempertingkatkan keupayaan CAAM sebagai badan kawal selia udara, malah memastikan pelaksanaan penggabungan CAAM dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) secara mampan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan