WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 Garap Hala Tuju Holistik IPT - Zambry

03/12/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 yang sedang disediakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digarap secara holistik dengan menekankan aspek pembangunan insaniah dan pengembangan minda mahasiswa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hala tuju institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bukan sahaja menyediakan infrastruktur pendidikan berkualiti, tetapi juga perlu merangkumi bidang pembelajaran yang seiring dengan keperluan industri selain melahirkan mahasiswa seimbang.

“Universiti kini bukan hanya berperanan untuk membangunkan aspek pendidikan, tetapi turut merangkumi nilai manusiawi … membina manusia itu sendiri, membina otak dan watak. Ini menjadi fokus kita dalam merumuskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 nanti.

“Ia juga berkait rapat dengan future orientation kepada universiti … dalam konteks universiti, IPT, politeknik ia melibatkan semakan semula sukatan pelajaran dan kurikulum mereka yang kebiasaannya dibuat institusi masing-masing pada setiap tiga hingga lima tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata pendekatan itu termasuk melihat kepada kurikulum baharu atau bidang alternatif lain yang semakin diperlukan seperti kecerdasan buatan (AI) dan sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Berhubung peruntukan biasiswa dan dana penyelidikan, Zambry berkata menerusi Belanjawan 2025, KPT diperuntukkan keseluruhan RM220 juta untuk tujuan pembiayaan biasiswa pelajar manakala geran penyelidikan pula sebanyak RM400 juta dan disokong dengan dana penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebanyak RM190 juta.

Mengenai pembangunan dan pembinaan infrastruktur IPT termasuk kolej komuniti baharu, beliau berkata perkara itu perlu mengambil kira keperluan tempatan untuk mengelakkan institusi ditutup akibat kekurangan penuntut, namun terdapat empat politeknik baharu dirancang akan dibina tahun depan.

Mengulas berkenaan kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zambry berkata pendekatan yang menyeluruh diperlukan untuk menyelesaikan masalah dan bukannya melihat daripada konteks universiti itu sahaja.

“Kita tidak boleh meneruskan tradisi ‘lihat itu, lihat ini’, apabila kejadian macam ini berlaku kita mesti ada pendekatan menyeluruh. Misalnya, dalam konteks UPNM, sistem yang ada sesuai ataupun tidak ataupun kita rombak balik … struktur semula sistem pengajian yang ada di sana.

“Dalam konteks universiti yang lain, kita tubuhkan Majlis Hal Ehwal Pelajar untuk pastikan kes buli tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata cadangan memasukkan universiti sebagai badan berkanun dengan kuasa autonomi sendiri akan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan kerana IPT Awam (IPTA) tidak tersenarai dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM18,097,086,800 yang diperuntukkan kepada KPT dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 19 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan