BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 WILAYAH - SABAH > BERITA

Belanjawan 2025: Anwar Gesa Sabah Selesaikan Isu Infrastruktur Dengan Cekap

19/10/2024 08:40 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Sabah untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di negeri itu dengan cekap susulan peningkatan peruntukan pembangunan bagi Sabah dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata walaupun belanjawan itu tidak akan menyelesaikan semua masalah yang melibatkan antaranya sekolah dan hospital, namun peruntukan itu ialah usaha berani kerajaan Persekutuan untuk menangani isu infrastruktur di Sabah.

Anwar berkata beliau mahu semua masalah infrastruktur termasuk menaik taraf sekolah dan hospital di Sabah dilakukan dengan efisien dan telus.

"Ia usaha yang berani (untuk menyelesaikan isu infrastruktur) dan kita akan terus melakukannya. Tugas anda (kerajaan negeri) adalah untuk memastikan ia (projek) dilaksanakan dengan cekap dan telus.

"Kita tidak mahu sebarang kerugian disebabkan kelewatan, pembaziran, komisen atau rasuah. Itu tanggungjawab anda sekarang, untuk menjayakannya," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Anwar berkata Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai banyak kawasan yang dianggap kurang membangun.

"Kita telah membelanjakan dana yang besar untuk projek Pan Borneo yang masih berjalan, ia hampir selesai di Sarawak, tetapi perlu digesa lagi di Sabah," kata beliau.

Semalam, Hajiji berkata Belanjawan 2025 mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kehidupan rakyat yang makmur tanpa menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara.

Hajiji yang menyambut baik keutamaan yang terus diberikan kepada Sabah, berkata peruntukan yang dicadangkan sebanyak RM6.7 bilion untuk negeri itu tahun depan menunjukkan peningkatan 0.45 peratus berbanding RM6.67 bilion tahun ini.

Beliau berkata peruntukan itu mencukupi untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 pada 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan