WILAYAH - UTARA > BERITA

YBR Salur RM100,000 Tingkatkan Fasiliti Pembelajaran Anak-anak Autistik Di Perlis

19/10/2024 11:50 PM

ARAU, 19 Okt (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan fasiliti pembelajaran anak-anak autistik di Perlis melalui pelaksanaan projek menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di universiti berkenaan.

YBR dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek pembangunan fasiliti terapi di Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) yang bertempat di Aras Dua, Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di universiti itu ialah kemudahan terapi yang berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian dilalui anak-anak autistik dan berkeperluan khas.

“Berteraskan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan, YBR dengan kerjasama A-HEART UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autisme dengan bertemakan Sejahtera & Lestari.

“A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar. Inisiatif ini meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan perasmian Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di UniMAP yang disempurnakan Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di universiti berkenaan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dalam kenyataan berkenaan berkata penyediaan pembangunan fasiliti yang baik ialah sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu mengembangkan potensi dalam kalangan kanak-kanak istimewa.

“Selain itu, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym ini boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor atau fizikal.

“Diharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak terutamanya ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran yang sempurna dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Syaiful Rizal berkata YBR telah memperuntukkan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan bagi 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan