WILAYAH - SELATAN > BERITA

SOJC: Vikneswaran Yakin Young Tigers Bangkit, Fokus Aksi Tentang Jepun

20/10/2024 11:41 AM

JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih I. Vikneswaran yakin skuad Young Tigers mampu bangkit menentang Jepun hari ini, selepas tewas 2-3 kepada New Zealand pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor malam tadi.

Beliau berkata anak buahnya perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan atas kekalahan itu dan kekal konsisten mengawal perlawanan serta mengambil perhatian terhadap kekuatan mental.

Bagaimanapun, Vikneswaran berkata pujian harus diberikan kepada skuad remaja kerana mempunyai peluang membolosi gawang skuad Black Sticks.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan, tetapi kita harus terima layangan kad kuning terhadap Zulhanif Sahran pada suku keempat dan pihak lawan diberi penalti strok yang telah mengubah keseluruhan corak perlawanan.

“Kita mempunyai peluang kawal permainan dan membolosi gawang lawan, namun sudah tentu perlawanan seperti ini memerlukan pemain kekal konsisten dan kekuatan mental memainkan peranan besar, iaitu ia antara aspek yang perlu diperbaiki.

“Apa yang saya boleh katakan, pemain telah berikan yang terbaik dan kalah atau menang, kita tetap satu pasukan dan pastinya kesilapan yang dilakukan akan diperbaiki untuk bangkit semula berdepan Jepun hari ini,’’ katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Vikneswaran pada masa sama menasihati pemain agar kekal fokus dan belajar daripada pengalaman sebagai persediaan untuk kelayakan Piala Dunia Remaja.

Sementara itu, Ketua Jurulatih New Zealand Aaron Ford mengakui Young Tigers memberi tentangan sengit kepada pasukannya.

“Ia perlawanan yang sukar namun saya amat bangga dengan anak buah kerana kami berjaya mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.

“Kami telah berusaha keras dan saya rasa kami layak atas kemenangan ini,” katanya.

Kejohanan bawah 21 tahun itu yang berlangsung hingga 26 Okt ini menyaksikan skuad remaja lelaki kebangsaan berentap dengan lima negara iaitu New Zealand, Australia, Great Britain, Jepun dan India bagi merebut piala kejuaraan edisi ke-12.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan