WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Besar Kepada KDN Wajar, Diperlukan - Lee

20/10/2024 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Peruntukan besar sebanyak RM19.5 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2025 dianggap wajar dan perlu, memandangkan peranan kementerian ini dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata pelbagai tanggungjawab yang dipikul oleh KDN memerlukan dana yang mencukupi untuk membiayai aset dan sumber tenaga bagi memastikan keberkesanan operasinya.

“Diharapkan semua pihak dalam KDN dapat menjalankan tanggungjawab serta tugas dengan amanah, integriti dan berdisiplin terutama anggota polis kerana mereka adalah barisan hadapan yang memperlihatkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara am,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berjumlah RM421 bilion, jumlah peruntukan terbesar setakat ini yang memfokuskan tiga teras iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahterakan rakyat.

Lee juga mencadangkan agar peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam diberi perhatian serius, bagi menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat untuk mereka menjalankan tugas dengan lebih produktif.

Selain itu, beliau berkata peruntukan RM360 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah langkah yang dialu-alukan, kerana ia membolehkan agensi tersebut bertindak secara agresif dan penuh komitmen dalam memerangi rasuah.

Lee juga menganggap peruntukan RM150 juta kepada pelbagai agensi untuk kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai dalam usaha menangani masalah banjir kilat di ibu kota adalah tindakan yang wajar.

“Masalah banjir kilat ini semakin buruk saban tahun, justeru kita harus memastikan bahawa kita boleh menyelesaikan masalah ini dengan peruntukan yang wajar dari Belanjawan 2025,” katanya.

Dari segi aspek kesihatan, Lee berkata kenaikan duti eksais terhadap minuman bergula diharap dapat menjadikan rakyat di negara ini mengurangkan minuman tersebut terutama apabila Malaysia sedang menghadapi masalah obesiti yang serius.

Katanya hasil daripada cukai gula itu pula kemudiannya dapat digunakan untuk memperkasa agensi kesihatan di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan