WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Imigresen Tahan 43 Warga Asing Dalam Op Kutip Di Kluang

20/10/2024 05:45 PM

JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 43 pendatang tanpa izin dan seorang majikan rakyat tempatan dalam serbuan di sebuah tapak projek perumahan di Kluang, Jumaat lepas. 

Pengarah JIM negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata tindakan menerusi Op Kutip itu susulan aduan orang awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja di tapak pembinaan berkenaan tanpa permit sah. 

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki rakyat Bangladesh dan sembilan warga Indonesia termasuk empat wanita berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun.

"Keseluruhannya sebanyak 85 warga asing dan tempatan diperiksa dalam operasi itu. Ada yang cuba melarikan diri termasuk terjun ke dalam sungai berhampiran, namun mereka berjaya diberkas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata warga asing yang ditahan itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Seorang lelaki tempatan yang merupakan wakil majikan bagi kontraktor utama tapak perumahan itu pula ditahan atas kesalahan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing," katanya. 

Mohd Rusdi berkata operasi itu melibatkan bahagian penguatkuasaan JIM serta Pejabat Imigresen Kluang dan turut disertai penguat kuasa cawangan Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau berkata unit penguat kuasa JIM cawangan Mersing berjaya menahan enam warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas dan dokumen perjalanan yang sah dalam Op Sapu di sebuah inap desa di daerah itu, Khamis lepas. 

Beliau berkata kesemua mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh manakala lima lagi berasal dari Indonesia yang berumur antara 25 hingga 54 tahun. 

"Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan