WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKR Lulus RM55.97 Juta Selenggara Jalan Di Kulim Dan Sandakan

21/10/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan sebanyak RM55.97 juta melibatkan 30 Arahan Kerja (AK) Penyenggaraan untuk jalan Persekutuan di Kulim, Kedah dan Sandakan, Sabah.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya telah mengenal pasti kerosakan permukaan jalan di FT136 kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu meliputi 45 kilometer (km) yang menganggarkan keperluan penyenggaraan sebanyak RM33.68 juta di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen.

“Sehingga Oktober 2024, kementerian meluluskan sebanyak RM11.37 juta melibatkan enam AK Penyenggaraan Berkala Pavemen untuk laluan FT136 dari Kulim ke Bandar Baharu, melibatkan kerja penurapan semula jalan dan jangka siap sepenuhnya akhir November 2024. 

“Baki permohonan yang belum dilaksanakan akan dimohon sebagai keutamaan pada 2025 dan tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan, berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai bilakah kementerian akan menurap semula jalan FT136 dari Kulim ke Bandar Baharu yang boleh dikategorikan jalan daif.

Sementara itu, dalam soalan berasingan yang dikemukakan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berhubung langkah kementerian untuk membaiki jalan raya di Sandakan, Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa memantau penyenggaraan jalan Persekutuan termasuk di jalan utama dan di dalam Bandar Sandakan, supaya selamat dan selesa untuk pengguna.

Beliau berkata kerja penyenggaraan meliputi tiga kategori iaitu kerja penyenggaraan rutin, kerja penyenggaraan berkala dan kerja kecemasan di Jalan Persekutuan utama dari Bandar Sandakan ke persimpangan Batu 32, Laluan 22, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dengan anggaran 56km.

“Peruntukan yang diluluskan sebanyak RM81 juta di bawah P27 dan RM50 juta untuk Program Penyenggaraan Berkala di bawah Kontraktor G1-G4, serta peruntukan tambahan RM90 juta untuk menyelesaikan backlog penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen di Jalan Persekutuan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM44.6 juta diperuntukkan bagi menyenggara Jalan Persekutuan di Sandakan dengan 24 bilangan AK pada tahun ini meliputi kawasan kritikal di laluan utama di Bandar Sandakan khususnya, dan dari persimpangan Batu 32 ke Bandar Sandakan.

Sementara itu, Nanta berkata kementerian turut meluluskan keseluruhan permohonan JKR Sabah bagi penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat secara berfasa dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Pada 2023, peruntukan yang dibelanjakan untuk membaiki lampu jalan di daerah Sandakan sebanyak RM300,000 dan meningkat kepada RM1.6 juta untuk 2024.

“Selain isu peruntukan terhad, faktor lain yang menjadi cabaran dalam menangani isu kerosakan lampu jalan adalah vandalisme, kecurian kabel dan kerosakan akibat dilanggar,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan