WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wanita Dipenjara Enam Tahun Miliki Pisau Tanpa Kebenaran

21/10/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran di hadapan sebuah hotel, tahun lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Jaime Jamilah Abdullah, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi wanita itu di akhir kes pembelaan.

"Setelah mahkamah mendengar dan meneliti keterangan saksi pembelaan dan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” kata Izralizam yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Okt tahun lepas.

Jaime Jamilah didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 24 sentimeter tanpa kebenaran yang sah di hadapan sebuah hotel di Jalan Lebuh Pudu Off Jalan Kasturi, Dang Wangi pada 2.50 petang, 11 Okt 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukannya adalah serius.

Peguam Azfar Asadullah Abdul Sathar yang mewakili tertuduh berkata sebelum ditangkap, anak guamnya yang tinggal di sekitar ibu kota tidak bekerja dan hanya mendapatkan makanan dari badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan hidup.

"Tertuduh hidup dalam persekitaran yang bahaya. Saya mohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dari tarikh tertuduh ditangkap," katanya.

Seramai tiga saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 28 Ogos lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan