WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua Mercedes Gesa EU Tangguh Tariff Terhadap Kenderaan Elektrik China

21/10/2024 04:16 PM

BERLIN, 21 Okt (Bernama-dpa) -- Ketua pengeluar kereta mewah Jerman, Mercedes-Benz, menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk meredakan pertikaian dengan China berhubung tarif ke atas kereta elektrik.

“Kita memerlukan lebih banyak perdagangan bebas dan bukannya halangan perdagangan baharu. Oleh itu, adalah penting untuk mencari penyelesaian yang sesuai untuk kedua-dua EU dan China,” kata ketua eksekutif Ola Kallenius kepada akhbar Bild edisi Isnin, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

“Rundingan untuk ini memerlukan masa. Bagi mengelakkan ia terganggu, EU sepatutnya menangguhkan pelaksanaan tarif yang dirancang,” katanya.

Pada awal bulan ini, majoriti negara EU membuka laluan untuk mengenakan tarif tambahan sehingga 35.3 peratus ke atas kenderaan elektrik berkuasa bateri yang diimport dari China. Namun, Jerman mengundi menentang langkah itu berikutan kebimbangan terhadap tindakan balas yang boleh menjejaskan industri automotif gergasi negara itu.

Suruhanjaya Eropah telah mendesak tarif tambahan selepas siasatan mendakwa Beijing memberi subsidi kepada pengeluar kereta elektrik domestik dan dengan itu menjejaskan persaingan pasaran di EU.

Bagaimanapun, sama ada tarif import itu akan dikuatkuasakan pada awal November masih bergantung kepada suruhanjaya berkenaan.

Rancangan ini masih boleh dibatalkan sekiranya Brussels mencapai penyelesaian dengan China di meja rundingan.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan