19 Warga Asing Terlibat Kegiatan Judi Di Tahan

21/10/2024 06:15 PM

Iskandar Puteri, 21 Okt (Bernama) -- Polis menahan 19 warga asing termasuk 10 wanita selepas disyaki menjalankan aktiviti perjudian di sebuah rumah kedai di Taman Nusa Bestari di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata menerusi serbuan Ops Dadu pada kira-kira 3 pagi itu kesemua yang ditahan berusia antara 24 hingga 55 tahun dipercayai pekerja kilang, kedai makan dan tapak pembinaan.

Beliau berkata dua daripada 19 yang ditahan merupakan pasangan kekasih yang bertindak sebagai penganjur aktiviti tersebut.

“Kita membuat serbuan di tingkat dua premis rumah kedai itu yang menjalankan kegiatan judi jenis ‘black jack’ dan mereka dipercayai baru seminggu menjalankan kegiatan haram itu.

“Dalam serbuan tersebut seorang suspek dipercayai penganjur lelaki dilaporkan cedera iaitu retak di bahagian buku lali kaki kiri selepas bertindak melarikan diri melalui tingkap bahagian belakang premis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas tiga kotak dan 52 keping daun terup serta wang tunai RM52,808 dipercayai wang taruhan.

 Kumarasan berkata lelaki yang cedera telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan.

"Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

"Kita juga mendapati sebahagian daripada warga asing ini tidak mempunyai permit kerja manakala yang mempunyai permit bekerja di sekitar daerah ini," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan