WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PR1MA, CIDB Tandatangan MoU Perkukuh Kerjasama Tingkatkan Kualiti Kediaman PR1MA

22/10/2024 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kualiti industri pembinaan dan pembangunan projek-projek PR1MA.

Pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Mohd Zaid Zakaria, disaksikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis CIDB QUEST Award bersempena International Construction Week (ICW) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Mohd Nazri Md Shariff yang juga Anggota Perbadanan PR1MA berkata MoU ini mencerminkan komitmen agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, dalam menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi dengan menerapkan teknologi pembinaan terkini, serta mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja PR1MA.

“Dengan kerjasama CIDB, kami berharap akan dapat meneruskan mandat untuk menyediakan kediaman yang berkualiti, selamat dan lestari untuk manfaat rakyat Malaysia.

“Kolaborasi ini juga akan dapat mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik di seluruh negara, selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nazri berkata MoU itu secara keseluruhannya melibatkan beberapa objektif utama, termasuk penerapan teknologi pembinaan terkini seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) serta penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Selain itu, PR1MA dan CIDB juga akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan (COE) bagi tujuan latihan dan perkongsian maklumat, serta akan memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi pembinaan di Malaysia.

“Kerjasama ini turut melibatkan pelaksanaan Program Pembangunan Kontraktor, yang akan merekod dan menilai keupayaan kontraktor dalam melaksanakan projek berteknologi tinggi, justeru meningkatkan lagi kredibiliti kontraktor di dalam sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata dengan penggabungan inovasi teknologi dan program latihan khusus, PR1MA dan CIDB berupaya meningkatkan daya saing kontraktor tempatan seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan setakat Ogos 2024, PR1MA mempunyai 89 projek bersamaan 54,660 unit di seluruh Malaysia yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 projek, yang terdiri daripada 41,321 unit telah berjaya disiapkan, manakala 28 projek yang terdiri daripada 13,339 unit masih dalam fasa pembinaan dan perancangan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan