WILAYAH - TIMUR > BERITA

IPU Kebakaran Tapak Pengumpulan Kitar Semula Masih Baik - JAS

28/10/2024 07:58 PM

KOTA BHARU, 28 Okt (Bernama) -- Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tapak pengumpulan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, yang terbakar semalam mencatatkan bacaan IPU 46, yang dikategorikan sebagai tahap baik.

Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Mohamad Zamzani Ibrahim berkata pemantauan hari ini menunjukkan bacaan IPU masih berada dalam kategori hijau.

Beliau berkata bacaan IPU sebelum ini adalah antara 20 hingga 30 namun akibat kebakaran di tapak tersebut, bacaan semakin meningkat sejak malam tadi.

“Kami kini memantau keadaan IPU di kawasan sekitar tapak kebakaran setiap jam melalui stesen JAS di Pengkalan Chepa. Berdasarkan arah tiupan angin, kami menjangkakan bacaan IPU mungkin meningkat.

“Saya berharap bacaan IPU akan kekal pada tahap hijau dan terus berada pada tahap baik agar kualiti udara kita menjadi bersih,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak kejadian di sini, hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 ke atas adalah berbahaya.

Dalam pada itu, operasi memadamkan kebakaran di tapak tersebut dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Kota Bharu Zukeri Shafei memaklumkan bahan kitar semula di lokasi kejadian terdiri daripada 100 peratus bahan mudah terbakar seperti getah, plastik dan kain yang menyukarkan operasi pemadaman.

Semalam, tapak pengumpulan bahan kitar semula itu terbakar sehingga 80 peratus pada kira-kira pukul 6 petang dan seramai 40 anggota bomba bersama lima jentera dan empat tangki air dikerahkan bagi memadamkan kebakaran tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan