WILAYAH - UTARA > BERITA

Polis Tahan Lelaki Langgar Lari Pelajar Dalam Sekolah

24/10/2024 10:32 AM

IPOH, 24 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian langgar lari membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Taman Bintang, Pantai Remis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata penganggur berumur 47 tahun yang ditahan pada hari yang sama, telah dirujuk ke hospital Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut kerana disyaki keadaan mentalnya tidak stabil.

Beliau berkata dalam kejadian semalam, pada kira-kira pukul 6.24 petang polis menerima laporan mengenai kejadian sebuah kenderaan jenis Myvi yang dipandu secara berbahaya telah melanggar seorang pelajar sekolah.

“Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang, apabila kenderaan dipandu suspek meluru dan melanggar pintu pagar sebuah gelanggang bola keranjang sehingga roboh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hasbullah berkata suspek kemudian memandu masuk ke dalam kawasan sekolah, menghala ke arah dewan, dan melanggar seorang pelajar perempuan yang sedang berlatih bola tampar bersama pelajar lain, sebelum terus beredar.

Beliau berkata pejalar itu sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung akibat kecederaan di bahagian kaki kiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Munawara Ahmad dengan menelefon talian 011-1624 0391 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan