WILAYAH - TIMUR > BERITA

JAS Kelantan Keluar Sembilan Kompaun Kesalahan Pembakaran Terbuka

26/10/2024 08:55 PM

PASIR MAS, 26 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengeluarkan sembilan kompaun kesalahan pembakaran terbuka dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah JAS negeri Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata tindakan itu ialah hasil daripada 234 operasi rondaan mencegah pembakaran terbuka sepanjang tahun ini dengan tiga kertas siasatan dibuka untuk pertuduhan di mahkamah.

"Kompaun RM2,000 dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi setiap kesalahan pembakaran terbuka yang dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar 2024 Peringkat Kelantan di sini hari ini.

Wan Aminordin berkata JAS Kelantan akan mengeluarkan garis panduan untuk menentukan kompaun mengikut tahap keseriusan kes pembakaran terbuka susulan pindaan AKAS 1974 yang dikuatkuasakan 7 Julai lepas.

"Pindaan AKAS 1974 yang diwartakan pada 6 Jun 2024 itu melibatkan hukuman denda dan penalti lebih tinggi dengan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10 juta termasuk tambahan peruntukan penjara," katanya.

Wan Aminordin berkata pindaan itu turut melibatkan Seksyen 29A, Larangan Pembakaran Terbuka yang mengenakan denda lebih tinggi iaitu tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan