WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Belajar Pelbagai Aspek Pengurusan Bencana Menerusi AMMDM - Ahmad Zahid

24/10/2024 08:44 PM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia telah berpeluang belajar pelbagai aspek pengurusan bencana daripada negara ASEAN termasuk China, Jepun dan Korea, menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 yang diadakan di Brunei, bermula semalam hingga esok (25 Okt).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai perkongsian daripada negara-negara berkenaan, amat bermanfaat kepada Malaysia walaupun negara tidak berhadapan dengan bencana besar seperti gempa bumi.

“Kita harus pelajari tentang pengurusan untuk menangani bencana terutamanya daripada Jepun dan China yang sering mengalami bencana sama ada banjir, salji, pergerakan cerun dan malapetaka alam yang lain.

“Ini yang harus kita pelajari bagi melengkapkan dari segi kesiapsiagaan (ini penting),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata pengalaman daripada negara-negara berkenaan juga, memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa tidak hanya kudrat manusia diperlukan semasa bencana sebaliknya memerlukan peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal.

“Kita telah laksanakan (peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal) tetapi mereka lebih maju daripada kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia turut komited untuk mencontohi negara-negara berkenaan yang bersiap sedia lebih awal dan kemas, apabila ditimpa bencana.

Beliau turut berkongsi mengenai komitmen yang ditunjukkan oleh negara ASEAN, apabila Malaysia menawarkan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.

“Semua negara ASEAN telah memperlihatkan komitmen masing-masing terhadap tawaran ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengenal pasti sekolah yang bersesuaian, untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan kekal bagi menggantikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan digunakan ketika bencana.

“NADMA telah bekerjasama dengan pihak sekolah dan telah kenal pasti sekolah yang sering dijadikan PPS, untuk kita wujudkan pusat pemindahan kekal yang dilengkapi kemudahan bilik air, tandas dan tempat penginapan yang lebih selesa berbanding PPS,” katanya.

Beliau berkata usaha itu adalah sebagai memanfaatkan sebahagian peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt.

“Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan kepada NADMA dan tentunya Perdana Menteri mengharapkan pelbagai langkah produktif dilakukan, bukan sahaja oleh NADMA yang merupakan badan koordinasi menangani bencana tetapi melibatkan penyertaan Jawatankuasa Bencana Negeri dan peringkat daerah,” katanya.

Dengan peruntukan itu juga, beliau berkata NADMA akan meningkatkan jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk beberapa persatuan radio amatur serta persatuan kenderaan pacuan empat roda.

“Ini penting terutama apabila sistem telekomunikasi terputus kerana sebelum ini kita guna GERN (rangkaian radio bersepadu kerajaan), tetapi kali ini kita akan kerjasama dengan persatuan-persatuan ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk khidmat sukarelawan,” katanya.

Ahmad Zahid kini berada di Brunei bagi mewakili Malaysia pada AMMDM yang bertemakan ‘Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan’, yang menekankan kepentingan usaha bersama dalam menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan