WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Lebuh Raya WCE Bakal Sokong Pertumbuhan Ekonomi Johor - EXCO

25/10/2024 03:29 PM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

JOHOR BAHRU, 25 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor bakal menyokong pertumbuhan ekonomi negeri ini khususnya di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata antara inisiatif ekonomi yang bakal menerima kesan positif langsung daripada pembinaan lebuh raya ini adalah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (Forest City SFZ).

“Impak positif projek ini adalah peningkatan pelaburan dan aktiviti perdagangan di kawasan perindustrian dan komersial sepanjang laluan WCE. 

“WCE juga akan memudahkan akses antara dua pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan Pelabuhan Klang di Selangor,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Lee berkata lebuh raya berkenaan turut memudahkan aliran pengangkutan barangan dan mempercepatkan rantaian bekalan sekali gus menarik lebih banyak pelabur domestik dan asing dalam sektor logistik dan pembuatan. 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan pada tahun depan.

Selain WCE, projek lain yang akan turut menggunakan pendekatan PPP adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor serta Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor (JTA) Chai Pei Yoon berkata WCE bakal meningkatkan kecekapan logistik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas antara ibu negara ke selatan tanah air.

Beliau berkata projek tersebut juga dijangka dapat meningkatkan kerjasama sektor logistik antara Malaysia dan Singapura sekali gus merancakkan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara jiran itu. 

“JTA berharap kerajaan akan mengambil kira keperluan industri logistik dalam pelaksanaan projek ini bagi memastikan kelancaran infrastruktur yang bakal memberi manfaat kepada pengangkutan barang dan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, kami yakin projek WCE bakal memberi manfaat jangka panjang kepada sektor logistik dan ekonomi negara,” kata Chai. 

Ketika ini satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mula dibuka sejak tahun 1994.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan