WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keanggotaan Malaysia Dalam BRICS Boleh Lonjak Perdagangan, Pengaruh Global - Ahli Akademik

28/10/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Penyertaan Malaysia sebagai negara rakan dalam pakatan BRICS boleh memudahkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan negara seperti China dan India, kedua-duanya merupakan rakan dagang utama sedia ada.

Menurut ahli akademik Paul Anthony Mariadas dan Uma Murthy, mempelbagaikan kerjasama ekonomi melangkaui pasaran Barat tradisional akan membolehkan Malaysia mengurangkan pergantungan kepada beberapa rakan dagang sekali gus membuka laluan ke pasaran yang lebih besar.

“Sebagai contoh, menyertai BRICS boleh membawa lebih banyak eksport Malaysia ke India dan Brazil, meningkatkan sektor seperti minyak sawit, elektronik dan getah.

“Selain itu, Malaysia sebagai sebahagian daripada BRICS, akan mendapat sokongan yang lebih padu dalam tadbir urus ekonomi global,” kata mereka dalam kenyataan pada Isnin.

Kedua-dua mereka ialah pensyarah perakaunan dan kewangan di Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Taylor's University.

Mereka berkata penyertaan Malaysia dalam blok itu boleh membawa pengaruh dasar kewangan global dengan lebih berkesan terutama berkaitan isu seperti perdagangan antarabangsa, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

“Selain itu, Malaysia boleh melaksanakan peranan penting dalam kerjasama ASEAN-BRICS, bertindak sebagai jambatan antara Asia Tenggara dan blok BRICS, sekali gus melonjakkan kedudukan diplomatik serantau dan antarabangsanya,” kata mereka.

Malaysia boleh meraih manfaat dari New Development Bank (NDB) yang ditubuhkan oleh BRICS pada 2014 untuk menyediakan pembiayaan bagi projek infrastruktur dan pembangunan mampan di negara anggota dan negara yang sedang membangun lain.

Ahli akademik itu berkata Malaysia yang menekankan usaha untuk menambah baik infrastruktur, mengurangkan ketaksamaan, dan menggalakkan pembangunan mampan, boleh mendapat manfaat daripada akses kepada pembiayaan NDB untuk projek penting terutama dalam sektor seperti pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan tenaga hijau.

Mereka berkata Malaysia juga boleh memanfaatkan inisiatif BRICS seperti pengaturan rizab luar jangka, yang bertujuan menyediakan sokongan mudah tunai kepada negara anggota semasa krisis kewangan.

Perkara itu boleh menjadi jaringan keselamatan kewangan tambahan untuk Malaysia, meningkatkan daya tahan ekonomi negara, kata mereka.

“Menerusi langkah menjajarkan negara dengan BRICS, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi, kerjasama penyelidikan, dan berkongsi kepakaran dalam sektor yang semakin berkembang seperti kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.

“(Dengan itu) meningkatkan keupayaan teknologi Malaysia dan membantu merangsang ekonomi berasaskan pengetahuan,” kata mereka.

BRICS juga sering dilihat sebagai pengimbang balas kepada penguasaan global Amerika Syarikat (AS) dan kalangan negara Eropah, yang mewakili dunia multipolar yang sedang pesat membangunl, kata ahli akademik itu.

“Dengan menyertai BRICS, Malaysia akan bersama-sama dengan negara yang memperjuangkan satu order global yang lebih adil, yang mungkin bermanfaat ketika merundingkan perjanjian antarabangsa atau menangani cabaran global,” kata mereka.

“Ini boleh memberi lebih autonomi kepada Malaysia untuk dasar luar negara, membolehkannya menghadapi kalangan kuasa global yang bersaing, dengan lebih berkesan,” kata mereka.

Walaupun penyertaan dalam BRICS boleh membantu Malaysia mempelbagaikan perkongsian ekonomi namun keadaan itu juga meningkatkan pergantungan ekonomi kepada China, yang menghadapi cabaran ekonominya sendiri, termasuk pertumbuhan perlahan serta peningkatan ketegangan geopolitik dengan AS dan sekutunya, kata mereka.

“Selain itu, Malaysia perlu memastikan kedaulatan dan kebebasan ekonomi negara tidak terjejas dengan menjadi terlalu bergantung kepada pelaburan atau dasar ekonomi China.

“Akhirnya, Malaysia perlu mengimbangi ‘kebaikan dan keburukan’ secara berhati-hati, dengan mengambil kira kepentingan negara jangka masa panjang, objektif dasar luar dan keutamaan dalam negera sebelum membuat sebarang keputusan mengenai keanggotaan BRICS,” kata mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan