WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Ethiopia Lawat Taman Botani Perdana

25/10/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dengan berkunjung ke Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Ketibaan beliau di Taman Botani Perdana pada 2.15 petang disambut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Sejurus tiba, Abiy menandatangani buku tetamu di Pusat Interpretasi serta diberi taklimat mengenai taman rekreasi berkenaan, sebelum dibawa melihat beberapa tarikan utama seperti di Laman Perdana.

Perdana Menteri Ethiopia itu yang tiba bersama isterinya Zinash Tayachew Bere di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 8.30 pagi tadi, turut dijadual mengadakan lawatan ke Proton Tanjung Malim, Perak hari ini.

Antara program sempena lawatan rasminya, termasuk menghadiri majlis sambutan rasmi diikuti mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan sulung Abiy ke Malaysia bertujuan meningkatkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia dan Ethiopia.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023. Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta.

Eksport Malaysia ke Ethiopia ialah produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia serta tekstil, pakaian dan kasut.

Pada 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan