WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KBS Bantu Inisiatif Pembangunan Bakat Sukan Badan Beruniform - Ahmad Zahid

28/10/2024 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) menjalinkan kerjasama strategik dengan badan beruniform secara berperingkat dalam usaha membangunkan industri sukan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan yang dipengerusikan oleh beliau, hari ini. 

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad,  timbalan-timbalan menteri dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata keputusan hari ini dibuat susulan pelaksanaan inisiatif pembangunan bakat dalam kalangan anggota badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

“Inisiatif ini perlu supaya ia seiring dengan keperluan sukan semasa, seterusnya bagi mewujudkan satu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya beberapa elemen diberi perhatian seperti bantuan peralatan latihan dan sewaan pusat latihan agar sesi latihan dapat dilakukan secara efisien.

Turut dipersetujui adalah penganjuran kursus kejurulatihan dan sains sukan dalam kalangan pegawai dan anggota beruniform supaya lebih banyak jurulatih dalam kalangan badan beruniform memiliki sijil diiktiraf.

"Penganjuran kejohanan tempatan dan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara supaya bakat-bakat ini dapat didedahkan dengan lebih banyak pertandingan di peringkat tempatan serta atarabangsa," katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata badan beruniform juga perlu berperanan secara aktif dan memberi fokus kepada beberapa cadangan jenis sukan yang boleh diberi perhatian.

“Pemilihan jenis sukan daripada badan uniform seperti sukan sepak takraw (JBPM dan ATM), karate (ATM), tinju dan ping pong (ATM), angkat berat (JBPM), menembak dan memanah (ATM dan PDRM) turut mendapat perhatian ahli mesyuarat,” katanya. 

Beliau berkata anggota unit beruniform lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan dimasukkan di bawah program Pembangunan Bakat Sukan Dalam Kalangan Badan Beruniform.

Ahmad Zahid turut menggesa kerjasama bersepadu antara semua pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik dalam usaha membangunkan ekosistem sukan demi meletakkan nama Malaysia gah di persada dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan