GEORGE TOWN, 26 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee, memuji tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang 90 minit permainan ketika membenam Penang FC dengan jaringan 4-0 di Stadium Bandaraya malam tadi.
Menurut Ong, sejak awal beliau menekankan kepentingan disiplin, dan perkara itu diterjemahkan dengan baik oleh setiap pemain. Selain itu, pemain juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengekang pasukan tuan rumah daripada mencipta sebarang peluang untuk menembusi gawang mereka.
“Keputusan ini amat baik kerana selepas kemenangan di Manjung, Perak, kita sekali lagi meraih tiga mata penting di tempat lawan. Namun, yang lebih positif adalah kita tidak dibolosi, sesuatu yang sudah lama tidak terjadi untuk pasukan Sabah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.
Ong berkata semangat juang tinggi dan kerjasama yang kukuh antara pemain turut menjadi faktor utama dalam pencapaian cemerlang mereka pada perlawanan kali ini.
Sementara itu, Penang FC yang turun tanpa kelibat ketua jurulatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang dikhabarkan mengambil cuti, nyata longlai hingga tewas buat kali ketiga di hadapan penyokong sendiri.
Pembantu Ketua Jurulatih, Mat Saiful Mohamad, yang menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan bersama Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak, nyata kecewa dengan prestasi pasukan dan mengakui sukar menerima kekalahan berturut-turut walaupun pada sesetengah masa mereka mencipta peluang jaringan.
“Selepas menukar formasi dari 4-3-3 ke 4-4-2 pada separuh masa kedua, kita mula menguasai permainan dan mencipta peluang, tetapi pemain sudah berikan yang terbaik dan inilah kualiti yang kita miliki buat masa ini,” katanya.
Mat Saiful turut menyatakan bahawa ketiadaan dua pemain tengah utama, Rafael Vitor dan Khairul Azrin, memberi kesan kepada mutu persembahan Harimau Kumbang. Beliau berharap pemain kelahiran Brazil, Rafael Vitor, dapat kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Rafael Vitor mungkin boleh beraksi pada perlawanan akan datang, tetapi Khairul Azrin dijangka mengambil masa kerana kecederaannya agak serius,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial