WILAYAH - TIMUR > BERITA

Hasil Padi KADA, MADA Merosot Ekoran Kemarau Dan Banjir

26/10/2024 04:35 PM

KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Hasil pengeluaran padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot lima peratus dalam tempoh setahun berikutan musim kemarau dan banjir, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagaimanapun keadaan itu dijangka pulih seperti sedia kala kerana proses pemulihan sedang berlaku pada musim baharu tanaman padi.

“Walaupun hasil padi KADA dan MADA merosot, kita bernasib baik kerana harga import beras menurun selain ringgit kita meningkat menjadikan barang import dapat dipasarkan dalam negara dengan harga lebih murah.

“Selain itu, saya juga memberikan jaminan bahawa penanaman padi musim kedua yang bermula bulan ini tidak terjejas dengan MTL (Monsun Timur Laut) yang dijangka bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Tabung Bencana Tanaman Padi serta Penyampaian Bantuan Khas Sumbangan Tunai di Nilam Puri di sini hari ini.

Di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi, pesawah di kawasan KADA akan menerima bantuan tunai RM1,800 per hektar untuk yang terjejas banjir manakala RM876 per hektar bagi kemarau dengan had maksimum tiga hektar. 

Mohamad berkata kementerian telah meluluskan bantuan berjumlah RM9.7 juta kepada 4,616 pesawah yang terjejas di kawasan KADA bagi musim pertama dan kedua tahun 2023, melibatkan keluasan kawasan sebanyak 11,119 hektar.

"Saya juga telah menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1 2024 kepada pesawah di kawasan KADA melibatkan lebih 7,239 penerima dengan jumlah peruntukan RM4,343,400. Setiap pesawah akan menerima RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan," katanya.

Pada masa sama, Mohamad turut menyeru pesawah di kawasan KADA mematuhi jadual Penanaman Padi bagi Musim Kedua 2024 untuk mengelakkan kesan bencana alam.

Sementara itu, mengulas mengenai penyeludupan haiwan penternakan seperti lembu dan kambing yang berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Sungai Golok dan Rantau Panjang beliau berkata keadaan berkenaan dijangka mengundang pelbagai penyakit. 

“Saya ada menerima banyak aduan daripada pihak penternak bahawa terlalu banyak penyeludupan lembu dan kambing yang diseludup masuk ke negara ini. Keadaan ini juga boleh menjejaskan perniagaan penternak di negara ini.  

“Apabila tiba musim kemarau, air cetek sehingga boleh dilalui dengan motosikal atau berjalan kaki terutamanya di Sungai Golok, Thailand dan ketika itulah penyeludup akan mengambil kesempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang bertanggungjawab menjaga sempadan negara agar mempertingkatkan kawalan bagi mengekang kegiatan penyeludupan berkenaan.

Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan itu ialah Pengerusi KADA Muhammad Husain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan