WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPJ Healthcare Lancar Sistem Kesihatan Akademik Pertama Di Malaysia

27/10/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah melancarkan Sistem Kesihatan Akademik KPJ (Sistem Kesihatan KPJ), yang pertama seumpamanya di Malaysia, sempena hari kedua Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024.

Sistem Kesihatan KPJ ini mengintegrasikan pendidikan dan penyelidikan dalam hospital sekali gus menjadikan hospital sebagai pusat pembelajaran serta penerokaan ilmu di mana amalan dan inovasi bergerak seiring selaras dengan agenda kesihatan negara bagi menyokong visi jangka panjang Malaysia untuk sistem kesihatan bertaraf dunia.

 Pengerusi Universiti KPJ Healthcare (KPJU) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan visi beliau dan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk menilai dan membentuk semula bagaimana cara penjagaan kesihatan berfungsi.

“Ia tidak lagi hanya mengenai rawatan semata-mata - hospital perlu berkembang selain berfungsi sebagai pusat rawatan.

“Mereka harus menerima pakai solusi terkini seperti diagnostik berpandukan AI dan perubatan peribadi serta beralih fokus kepada penjagaan pencegahan dan kesejahteraan keseluruhan sekali gus mewujudkan sistem kesihatan jangka panjang,” katanya selepas majlis pelancaran sistem itu oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut dihadiri oleh Pengerusi KPJ Healthcare Tan Sri Dr Ismail Bakar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Sistem Kesihatan KPJ ini direka untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit, memperkasa pembangunan profesional berterusan bagi penyedia perkhidmatan kesihatan serta memacu penyelidikan yang inovatif bagi menangani cabaran kesihatan semasa dan masa depan dalam langkah yang meletakkan KPJ Healthcare di barisan hadapan inovasi penjagaan kesihatan.

Dengan mengadaptasi teknologi transformasi seperti AI, pengkomputeran kuantum dan nanomedik, KPJ Healthcare menetapkan piawaian baharu untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di seluruh Malaysia, meningkatkan hasil rawatan pesakit serta melahirkan generasi profesional kesihatan yang mahir.

Inisiatif ini menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses kepada rawatan canggih, mengurangkan jurang kesihatan dan menyokong pembangunan pusat rawatan khusus yang mampu merawat kes perubatan kompleks sekali gus memperkukuh infrastruktur kesihatan Malaysia.

Prapelancaran Sistem Kesihatan KPJ yang diadakan seminggu sebelum ini memperkenal pihak berkepentiingan dalaman utama kepada visi sistem ini yang direka bukan sahaja untuk manfaat pesakit dan kakitangan KPJ Healthcare tetapi juga komuniti yang lebih luas melalui pendekatan kesihatan berasaskan penyelidikan dan fokus pada pendidikan.

Ini adalah manifestasi slogan KPJ Healthcare iaitu “Care for Life”, bekerjasama erat di antara pemegang berkepentingan dan sektor untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

MIH Megatrends 2024, yang juga acara penjagaan kesihatan utama negara, dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare serta rakan strategik iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Acara nasional berprestij ini menghimpunkan pemimpin dan profesional kesihatan global untuk meneroka kemajuan terbaharu, berkongsi pengetahuan dan menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan kualiti, aksesibiliti dan kelestarian penjagaan kesihatan di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan