WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MIH Megatrends 2024 Raih 2 Juta Tontonan Dalam Talian

27/10/2024 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 melepasi jangkaan apabila meraih dua juta tontonan dalam talian sekali gus mencerminkan peningkatan minat dalam sektor itu ketika ia bersiap sedia bagi penganjuran ASEAN Megatrends 2025.

Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata MIH Megatrends 2024 adalah platform penting bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam penjagaan kesihatan di peringkat global.

“Buat pertama kalinya, Malaysia menampilkan kesiapsiagaan penjagaan kesihatan di peringkat global sekali gus membuktikan bagaimana sistem penjagaan kesihatan kita telah matang dan bersedia melayani pesakit tempatan dan antarabangsa.

“Kita mempunyai hampir 5,000 pengunjung yang jauh melepasi jangkaan manakala sesi penstriman secara langsung pula mencecah angka 1.2 hingga 1.5 juta penonton dalam talian bagi tempoh dua hari,” katanya pada majlis penutup persidangan itu hari ini.

Beliau berkata minat ketara yang ditunjukkan oleh pengunjung dan penonton dalam talian sebahagiannya adalah disebabkan populasi menua Malaysia serta prevalens penyakit tidak berjangkit seperti kanser dan diabetes.

“Menteri Kesihatan kita sering menekankan mengenai prevalens penyakit tidak berjangkit seperti kanser dan diabetes iaitu isu utama yang membebankan negara. 

“Oleh itu, penjagaan kesihatan tidak boleh bergantung semata-mata kepada doktor serta hospital kerana ia harus melibatkan seluruh masyarakat dan ini menyebabkan perhatian semakin meningkat terhadap cabaran ini,” katanya.

Chin berkata persidangan itu berfungsi sebagai landasan bagi penganjuran MIH Megatrend 2025, inisiatif yang diperluas selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Kami berharap untuk menjadikan acara tahun depan lebih besar dan kami akan membawa ia ke tahap baharu dengan lebih 100 pempamer daripada pelbagai segmen termasuk peranti perubatan, farmaseutikal dan profesional dari seluruh ekosistem penjagaan kesihatan,” katanya.

MIH Megatrends 2024 menjadi tuan rumah kepada lebih 50 penceramah termasuk 20 pakar antarabangsa yang menangani isu kritikal yang menimbulkan keyakinan terhadap landskap penjagaan kesihatan Malaysia dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Acara penjagaan kesihatan utama ini menggariskan komitmen kami dalam mempromosikan sektor penjagaan kesihatan Malaysia di peringkat global dengan penekanan khusus kepada pelancongan kesihatan,” katanya.

Persidangan tiga hari itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Okt, merangkumi topik potensi transformasi kecerdasan buatan (AI) generatif dalam penjagaan kesihatan, masa depan pembiayaan kesihatan negara, kerjasama awam-swasta bagi penjagaan kesihatan mampan, pelaksanaan model penjagaan berasaskan nilai serta evolusi perubatan jitu.

Dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MIH Megatrends 2024 merujuk kepada pendekatan proaktif Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan