WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEGIM Langkah Proaktif Malaysia Wujud Ekosistem Ekonomi Gig Lebih Mampan

28/10/2024 07:47 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia (SEGiM) menjadi bukti jelas tindakan Malaysia dalam mengambil langkah proaktif bagi membentuk ekosistem ekonomi gig yang lebih mampan dan inklusif. 

Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata suruhanjaya itu juga bukan sekadar wacana tempatan, tetapi usaha dalam meletakkan Malaysia di barisan hadapan untuk mengurus ekonomi gig secara berkesan, sekali gus mendahului negara-negara besar termasuk Eropah dan Amerika Syarikat.

"Menerusi SEGiM, kita akan membina satu ekosistem menyeluruh bagi menyokong para pekerja gig tanpa mengira apa sektor mereka. SEGiM bukan hanya untuk pemandu e-hailing atau penghantar makanan, tetapi juga untuk pekerja bebas, sambilan, penggiat seni seperti pelakon dan jurugambar serta banyak lagi. 

"Pekerjaan mereka tidak boleh dilihat sebagai sementara atau tidak formal kerana sumbangannya kepada ekonomi negara adalah nyata dan signifikan," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di sini, hari ini.

Konvensyen dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada 27 Ogos lepas, Ahmad Zahid berkata kerajaan komited untuk mewujudkan SEGiM selepas rang undang-undang berkaitan kebajikan pekerja gig dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Beliau berkata pelaksanaan suruhanjaya itu perlu disegerakan untuk memberikan perlindungan jangka panjang serta dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada kumpulan pekerja berkenaan.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Sharkar berkata antara fokus utama SEGiM ialah memastikan perlindungan hak pekerja gig, termasuk mendapat jaminan keselamatan sosial yang menyamai pekerja formal. 

Beliau berkata melalui caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dasar perlindungan lebih jelas, kerajaan akan memastikan pekerja gig tidak terpinggir dari aspek kebajikan dan keselamatan.

"Kita berbangga Malaysia adalah antara negara terawal di dunia dari segi penubuhan suruhanjaya khusus untuk ekonomi gig dan menjadikan kita sebagai pelopor dalam menangani isu-isu berkaitan pekerja gig secara holistik,” katanya. 

Kerajaan juga berhasrat memperkenalkan program meningkatkan kemahiran dan latihan semula yang dapat membantu pekerja gig bersiap menghadapi perubahan pasaran pekerjaan. 

Program-program itu juga dapat memastikan mereka terus relevan dan menyumbang kepada sektor- sektor ekonomi yang lebih stabil dan berpendapatan tinggi.

"Kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat- syarikat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan platform-platform ekonomi gig di negara ini dapat memberi manfaat optimum kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan