WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKSB Hantar Lori Tangki, Catuan Kecemasan Bantu Pemadaman Kebakaran

29/10/2024 06:34 PM

KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar enam lori tangki air bagi membantu kerja-kerja memadam kebakaran tapak pengumpulan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

AKSB dalam kenyataan memaklumkan catuan kecemasan, turut dilakukan di kawasan Sabak dan Kemumin bagi memastikan lokasi kebakaran mendapat tekanan air yang baik.

“Bomba memohon bantuan bagi meningkatkan tekanan air di sekitar kawasan insiden, termasuk bantuan lori air AKSB kerana kebakaran berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam untuk dipadamkan.

“Kebakaran melibatkan timbunan bahan kitar semula termasuk plastik yang dimampatkan setinggi tiga meter di kawasan berkeluasan melebihi 0.5 hektar dengan 10,000 tan bahan mudah terbakar,” menurut kenyataan itu hari ini.

AKSB memaklumkan 15 jentera termasuk pam mudah alir berkuasa tinggi terlibat dalam pemadaman kebakaran tapak itu dan sudah tentu permintaan air amat tinggi daripada bomba walaupun lokasi kejadian tidak sampai satu kilometer dari tangki Kemumin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan