WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Ketengahkan Kesan AI, Ekonomi Hijau Terhadap Pasaran Kerja Di ALMM Ke-28

29/10/2024 06:42 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia bakal mengetengahkan isu kesan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta ekonomi hijau terhadap pasaran kerja pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-28 di Singapura.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengetuai delegasi Malaysia ke ALMM yang bermula hari ini hingga 31 Okt.

Menurut KESUMA, Sim dijadual menghadiri sesi dialog bersama diaspora Malaysia anjuran Talent Corp yang bertujuan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan bakat-bakat rakyat Malaysia di luar negara selain mendengar cadangan dan pandangan mereka.

“Pada hari kedua, Menteri Sumber Manusia akan menghadiri mesyuarat bersama Menteri-Menteri Sumber Manusia ASEAN. Mesyuarat pada kali ini bertemakan ‘Memperkukuh Ketahanan dan Mempromosikan Inovasi’.

“Dalam mesyuarat tersebut, Menteri Sumber Manusia akan membincangkan isu-isu kerjasama serantau berlandaskan Misi Strategik KESUMA 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan),” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan isu lain yang bakal diketengahkan termasuk kerjasama serantau dalam peningkatan kemahiran pekerja untuk berhadapan cabaran ekonomi abad ke-21, keselamatan sosial pekerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, ekonomi gig dan juga pekerja migran.

Menteri Sumber Manusia turut dijadual mengadakan Mesyuarat Dua Hala Bersama Menteri-Menteri Negara ASEAN yang lain bagi merapatkan hubungan kerjasama dengan negara-negara tetangga Malaysia.

“Menteri Sumber Manusia akan menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN +3 (ALMM+3) kali ke-13. Mesyuarat ini akan disertai tiga wakil dari negara gergasi ekonomi Asia iaitu China, Jepun dan Korea Selatan,” menurut kenyataan itu.

Sim juga akan menyampaikan jemputan kepada Menteri-Menteri Sumber Manusia ASEAN serta wakil dari China, Jepun dan Korea Selatan untuk menghadiri beberapa program anjuran KESUMA pada 2025.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan