JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan bekerjasama dengan sektor swasta untuk membangunkan 18 loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) di Semenanjung memandangkan pembinaannya memerlukan kos yang tinggi.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Hee Loy Sian berkata sebuah loji WTE dianggarkan bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada kapasiti memproses sampah antara 1,000 tan hingga 2,000 tan.
“Pembinaan 18 loji WTE ini disasarkan dalam tempoh 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat. Kami turut bekerjasama dengan pihak swasta kerana kosnya yang tinggi.
“Ketika ini, terdapat sebuah loji WTE yang telah beroperasi di Negeri Sembilan, manakala loji WTE seterusnya akan beroperasi di Bukit Payung, Johor, diikuti Sungai Udang, Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) Peringkat Negeri Johor 2024 di sini semalam.
Hee berkata walaupun kos pembinaannya agak tinggi, namun ia tetap dibangunkan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tapak pelupusan sampah untuk tempoh jangka masa panjang.
“Pada masa ini, beberapa negeri menghadapi situasi kritikal berkaitan tapak pelupusan sampah, namun kerajaan sedang menangani isu tersebut. Matlamat kita adalah untuk mengurangkan pencemaran air bawah tanah dan pencemaran udara yang berpunca daripada tapak pelupusan sisa yang ada sekarang,” katanya.
“Tanah di Malaysia ini semakin tinggi nilainya jadi sekiranya ia digunakan sebagai tapak pelupusan sampah, ia bukanlah cara terbaik. Jika tanah tersebut ingin digunakan semula, kita perlu tunggu sehingga 50 tahun, dan itu adalah tempoh yang terlalu lama,” katanya.
Pada 1 Julai lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika persidangan Dewan Rakyat dilapor berkata kerajaan dalam perancangan untuk membina 18 loji WTE di Semenanjung menjelang 2040.
Nga dipetik berkata bahawa teknologi WTE selamat digunakan kerana beroperasi pada suhu tinggi yang konsisten selain dilengkapi dengan sistem rawatan gas serombong yang mampu merawat gas berbahaya sebelum dilepaskan ke alam sekitar, serta tidak memerlukan keluasan tanah yang besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial