WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bakat Malaysia Percaya AI Generatif Beri Kesan Pada Pekerjaan Lima Tahun Akan Datang

30/10/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Tiga perempat daripada bakat Malaysia percaya kecerdasan buatan (AI) generatif akan memberi kesan kepada pekerjaan dan peranan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kepentingan di tempat kerja akan terus berkembang, menurut Decoding Global Talent Report 2024 oleh Jobstreet by SEEK. 

Laporan itu mendedahkan kebanyakan bakat tempatan sudah pun melakukan ujian atau kerap menggunakan AI generatif dalam kedua-dua peranan profesional dan peribadi, meletakkan Malaysia untuk penggunaan AI transformatif merentas pelbagai sektor.

Ia turut berkata kaji selidik daripada 79 peratus profesional menjangkakan beberapa perubahan dalam kerja mereka disebabkan AI, dengan 28 peratus menjangkakan kesan ketara yang boleh mengubah atau menghapuskan peranan mereka.

“Ini telah menyebabkan separuh daripada pekerja Malaysia menyedari keperluan untuk meningkatkan kemahiran, dengan ramai yang mendapatkan sokongan yang mencukupi daripada majikan untuk mengawal perubahan ini,” kata Jobstreet by SEEK dalam satu kenyataan.

AI Generatif merujuk kepada AI yang mampu menghasilkan kandungan dan idea-idea baharu seperti perbualan, cerita, imej, video dan muzik.

Tambahan pula, laporan itu menyatakan pengaruh AI yang semakin meningkat adalah jelas dalam cara rakyat Malaysia menggunakannya secara profesional dan peribadi, dengan 60 peratus menggabungkan AI ke dalam pelbagai aktiviti.

Secara khususnya, 44 peratus rakyat Malaysia menggunakan GenAI setiap bulan, melepasi purata global sebanyak 39 peratus dan sepadan dengan purata penggunaannya di Asia Tenggara.

Sektor teratas yang paling banyak menggunakan GenAI ialah pendigitalan, sains data dan AI (71 peratus), IT (63 peratus), pemasaran dan sektor media (60 peratus), manakala penggunaannya lebih rendah dalam pengangkutan, logistik dan rantaian bekalan (36 peratus), perundangan dan undang-undang (34 peratus) serta industri perkhidmatan dan hospitaliti (32 peratus).

“Walaupun meningkatnya penggunaan AI, sebanyak 40 peratus rakyat Malaysia dan 41 peratus rakyat dari Asia Tenggara masih tidak biasa dengan GenAI yang menunjukkan peluang besar untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan,” katanya.

Walaupun minat yang kuat untuk mempelajari AI generatif, ramai rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menggunakan teknologi secara berkesan. Kebimbangan utama termasuk kesukaran dalam merangka arahan (55 peratus) dan mengakses data yang boleh dipercayai (23 peratus).

Rakyat Malaysia melaporkan kesukaran dalam menulis arahan berbanding rakan-rakan di peringkat serantau dan global, yang mungkin mengehadkan penggunaan GenAI yang berkesan untuk mengatasi halangan itu.

Sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia mahukan panduan yang jelas daripada majikan mengenai kemahiran yang diperlukan untuk masa depan, sementara 23 peratus mencari program dan kursus pembelajaran yang lebih mudah diakses.

Selain itu, 14 peratus akan menghargai sokongan kewangan untuk latihan, manakala keperluan lain termasuk lebih banyak masa untuk meningkatkan kemahiran (lapan peratus), sokongan majikan (lapan peratus), akses internet yang boleh dipercayai (lapan peratus) dan sokongan kerajaan (lapan peratus).

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Nicholas Lam berkata di peringkat global, syarikat itu melihat evolusi pesat AI dan bagaimana ia boleh diterapkan dalam industri dan peranan tertentu.

Beliau berkata adalah sesuatu yang baik untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia menggabungkan AI dalam kehidupan peribadi mereka.

“Pemahaman asas ini dapat diterjemahkan dengan mudah di tempat kerja, mencerminkan perspektif yang matang dan siap sedia untuk masa depan mengenai AI. Bagi majikan, penemuan ini menekankan pentingnya melengkapi bakat dengan sumber dan sokongan bagi mengatasi penggunaan AI sambil mengekalkan produktiviti dan kebolehpasaran,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan