IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Seramai 214 anggota penyelamat termasuk pihak keselamatan dan agensi kerajaan terlibat dalam latihan bencana kecemasan luar bandar di beberapa lokasi di sekitar Ipoh sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata latihan selama dua hari bermula semalam melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kesihatan Malaysia serta agensi kerajaan lain.
Sayani berkata objektif latihan bencana itu diadakan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat dan agensi-agensi lain yang terdedah kepada sesuatu kemalangan atau bencana besar kerana MTL dijangka bermula tidak lama lagi.
“Selain itu, latihan ini juga dapat menilai keupayaan dan mobilisasi aset serta peralatan kebombaan dan penyelamatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa latihan bencana berkenaan di Taman Rekreasi Kolam Sungai Pinji di Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Senario latihan itu, memaparkan hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan Empangan Sultan Azlan Shah di Hulu Kinta pecah selepas paras air meningkat seterusnya mengakibatkan banjir di beberapa buah kampung.
Banjir itu menyebabkan 30 mangsa dari beberapa kampung berkenaan terperangkap dan dipindahkan melalui darat dan udara ke pusat pemindahan sementara berhampiran oleh agensi penyelamat.
Selain itu, latihan berkenaan turut diadakan di Loji Rawatan Air Sungai Kinta melibatkan 10 mangsa terhidu bahan klorin dan 10 lagi mangsa tersesat di Gunung Korbu, dan pasukan penyelamat menghantar bantuan makanan kepada kesemua mangsa melalui udara kerana jalan darat terputus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial