WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Angka Kematian Di Semenanjung Gaza Melonjak Kepada 43,259, Lebih 101,827 Cedera

01/11/2024 08:37 PM

GAZA, 1 Nov (Bernama-WAFA) -- Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin dan mencederakan 186 yang lain, menurut laporan perubatan.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lepas meningkat kepada 43,259 kematian yang dilaporkan, dengan tambahan 101,827 individu mengalami kecederaan. Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat membantu ramai mangsa yang cedera dan mengambil mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan raya merentasi kawasan yang dilanda perang, kerana pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan kru pertahanan awam.

Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel berterusan tanpa henti walaupun terdapat gesaan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk gencatan senjata segera dan arahan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menggesa langkah pencegahan pembunuhan beramai-ramai dan mengurangkan situasi kemanusiaan yang meruncing di Gaza.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan